HIJRAH KE MADINAH - KRONOLOGI SELEPAS HIJRAH NABI MUHAMMAD

Penghijrahan orang Islam Mekah ke Madinah telah berlaku melalui 3 fasa.

Fasa yang pertama secara tersembunyi, dimana orang Islam Mekah secara sembunyi-sembunyi berhijrah ke Madinah. Hal ini kerana ditakuti orang Arab Quraisyh mengetahui penghijrahan itu dan mengalang mereka. Fasa kedua secara terang-terangan, dimana rombongan hijrah yang dipimpin oleh Umar al-Khattab secara jelasnya menyatakan hasrat penghijrahan mereka ke Madinah kepada orang Arab Quraisyh. Dan Fasa terakhir ialah, penghijrahan Nabi Muhammad sendiri ke Madinah.

Penghijrahan Nabi Muhammad berlaku pada tahun 14 Kenabian.

26 Safar:
Orang Arab Quraisyh telah mengadakan perjumpaan di Darul Nadwah dan mereka merancang untuk membunuh Nabi Muhammad. Namun, Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya telah menghantar wahyu agar Nabi Muhammad melakukan penghijrahan. (Surah an-Nisa, ayat 97).

27 Safar:
Nabi Muhammad bersama-sama Saidina Abu Bakar memulakan perjalanan pada malamnya. Sebelum Nabi keluar daripada rumahnya, telah berlaku peristiwa hebat yang menunjukkan kehebatan Allah Azzawajalla (Surah al-Anfal, ayat 30). Baginda kemudiannya bersembunyi di Gua Thur kerana keadaan ketika itu sangat bahaya.

Sepanjang bersembunyi di dalam gua, banyak kejadian luar biasa terjadi antaranya ular yang mematuk kaki Saidina Abu Bakar, cicak yang berbunyi untuk memberitahu kewujudan Nabi didalam gua dan burung merpati yang menutup pintu gua.


1 Rabi’ul Awal:
Setelah bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari. Baginda dan Saidina Abu Bakar menyambung perjalanan. Mereka melalui jalan yang jarang dilalui orang dengan bantuan Abdullah bin Urayqit, seorang yang bukan Islam namun boleh dipercayai.

8 Rabi’ul Awal:
Baginda dan rombongan singgah di Quba’ selama 4 hari dan membina masjid Quba’ (masjid ini merupakan masjid pertama yang didirikan atas dasar taqwa).

12 Rabi’ul Awal:
Baginda dan rombongan menyambung perjalanan dan sampai di Madinah. Baginda memilih untuk menetap di rumah Abu Ayyub Al-ansari kerana unta Nabi berhenti berdekatan dengan kawasan rumahnya. Dan membina Masjid Nabi di tempat unta itu berhenti.


Jika anda mengkaji lebih lanjut tentang Hijrah Nabi Muhammad, anda akan mendapati bahawa:

1. Kebijasanaan Nabi mengatur strategi yang sangat tersusun. Penyamaran Ali bin Abi Talib tidur diatas katil Baginda pada malam Nabi bertolak, persetujuan Abu Bakar menjadi peneman Baginda sepanjang perjalanan, bantuan Abdullah bin Abu Bakar mengintip dan menjadi informant, sokongan Amir bin Fuhayrah memberi susu dan membawa kambing-kambing untuk menutup jejak Baginda, Asma’ binti Abu Bakar membekalkan bekalan sepanjang perjalanan hijrah nabi dan Abdullah bin Urayqit sebagai petunjuk jalan.

2. Betapa teraturnya Nabi dalam mengatur plan / perjalanan hijrah Baginda. Jika disesuaikan dengan situasi zaman sekarang, anda memerlukan iternery lengkap ketika bermusafir supaya perjalanan anda teratur dan selebihnya kita bertawakkal.

3. Dalam suatu permusafiran, lebih baik berteman dari berseorangan.

4. Berundur bukan bermaksud kalah, tapi berundur bagi memulakan suatu perkara yang lebih besar impaknya. Hijrah Nabi ke Madinah kerana wahyu Allah membawa kepada penaklukan semula Kota Mekah.